Sakit pada Faraj
Sekiranya
anda mengalami episiotomi atau koyakan semada melahirkan, anda akan
mengalami sakit pada faraj. Kesakitan mungkin akan belarutan sehingga
2-3 minggu terutama semasa anda berjalan atau duduk. Koyakan yang
panjang mungkin akan mengambil lebih masa untuk sembuh sepenuhnya.
Tip untuk mempastikan luka koyakkan cepat baik
Darah nifas
Anda akan
mengalami pengaliran darah nifas sehingga 6 minggu selepas bersalin.
Pada mulanya ia merah dan banyak, tapi lama kelamaan ia akan beransur
kurang menjadi berwarna coklat. Sekiranya anda duduk atau baring buat
seketika, anda mungkin perasan pendarahan yang keluar terutama semasa dan selepas menyusukan bayi. Itu normal dan anda janganlah panik
pula. Pastikan pad sanitari ditukar dengan kerap untuk mengelakkan
jangkitan kuman pada luka. Jangan cemas sekiranya keluar darah beku
sekali sekala. Ia kerap terjadi.
Walaubagaimanapun, sekiranya anda mengalami masalah ini, jumpalah doktor dengan segera.
- Pad sanitari dipenuhi darah walau ditukar setiap setengah jam
- Darah yang keluar berbau busuk
- Darah beku yang keluar lebih besar dari bola golf
- Mengalami demam 38 darjah atau lebih
Sakit rengat
Sakit
pada rahim sebaik melahirkan memang kerap terjadi tapi puan jangan
risau kerana ia cuma dari rahim yang mengecut dengan kuatnya. Kecutan
rahim menghalang aliran darah dari rahim seterusnya mengurangkan risiko
tumpah darah. Sakit juga sering berlaku semasa anda menyusu dan ia lebih
kerap terjadi pada kandungan kedua dan seterusnya. Walaubagamanapun,
sekiranya sakit rahim makin kuat disertai dengan darah yang berbau
busuk. Eloklah anda jangan membuang masa lagi. Jumpa doktor untuk
pastikan tiada jangkitan kuman pada rahim.
Susah kencing
Bengkak
dan calar pada tisu sekitar ruang faraj dan pundi kencing kadang kadang
boleh menyebabkan anda sukar kencing selepas melahirkan. Cuba buat
senaman kemutkan faraj semasa kencing dan letakkan pad suam atau sejuk
pada faraj untuk kurangkan bengkak. Sukar kencing terjadi tidak lama
kerana ia hilang dengan sendiri selepas beberapa hari.
Walaubagaimanapun, sekiranya faraj menjadi pedih dan anda kerap terasa
hendak kencing setiap 1 jam ia mungkin tanda jangkitan kuman pada pundi
kencing. Jumpalah dengan doktor ye.
Terkencing tanpa kawalan
Kehamilan
dan kelahiran menyebabkan tisu sekitar faraj dan sekeliling pangkal
pundi kencing tegang secara keterlaluan dan luka. Ia juga boleh
menyebabkan kerosakan pada saraf dipersekitarannya menyebabkan kawalan
kencing terganggu dan anda akan mudah terkencing apabila batuk, bersin
atau ketawa. Tapi anda bernasib baik kerana keadaan ini terjadi untuk
sementara waktu sahaja dan anda selalunya pulih sepenuhnya selepas 3
bulan. Amalkan senaman kegel kerana ia mempercepatkan proses pemulihan
dan pakai pad wanita sekiranya perlu.
Buasir
Sekiranya
anda merasa sesuatu keluar dari dubur dan sakit setiap kali buang air
besar, anda mungkin mengalami buasir. Buasir terjadi akibat tekanan yang
tinggi semasa meneran yang menyebabkan salur darah sekitar dubur
menjadi kembang. Untuk megurangkan rasa tidak selesa, puan
disarankan menggunakan pad berais, diletak pada bahagian dubur.
Sekiranya sakit keterlaluan atau buasir menjadi semakin bengkak, anda
disarankan berjumpa doktor. Terdapat ubat yang selamat dan boleh dimakan
walaupun anda benyusu badan. Untuk mengurangkan risiko buasir, amalkan
memakan makanan berfiber tinggi dan minum air secukupnya. Pastikan anda
sentiasa aktif semasa hamil dan sekiranya najis keras, anda boleh
meminta preskripsi doktor untuk ubat lembutkan najis.
Sembelit
Sembelit
kerap terjadi mungkin kerana takut luka episiotomi terbuka semasa
membuang air besar atau sebab sakit kerana buasir yang bengkak. Untuk
mengelakan dari najis menjadi keras, amalkan memakan sayuran dan makanan
berfiber tinggi semasa pantang, dan minum sekurang-kurangnya 8 gelas
sehari. Jangan dengar tentang mitos orang tua pasal minum air segelas
sehari dan tentang sayur sejuk sayur panas dan sebagainya. Dehidrasi
dari kekurangan air sebab terlalu berpantang menyebabkan luka anda
lambat baik dan air susu menjadi kurang. Sekiranya anda masih lagi
sembelit selepas tip diatas, Jumpa saja doktor untuk laksatif yang sesuai semasa pantang.
Sakit Buah dada
Selepas
beberapa hari bersalin, buah dada akan dipenuhi susu dengan banyaknya
dan payudara anda akan mula merasa sakit, berat dan bengkak. Rasa tidak
selesa pada buah dada selalunya berakhir sebaik sahaja bayi anda mula
pandai mengisap susu. Sekiranya masih bengkak, cuba perah mengunakan
‘breast pump’ yang sesuai. Anda juga boleh meletakan tuala sejuk atau
suam pada buah dada untuk mengurangkan bengkak. Ubat penahan sakit
seperti panadol dan ponstan adalah selamat dan boleh dimakan walaupun
anda menyusu. Bagi mereka yang mengalami susu yang keluar
terlalu banyak sampai meleleh, jangan tension pula, anggap itu satu
kelebihan dan cuba gunakan pad payudara. Bila malam, cuba letakkan tuala
pada buah dada untuk serapan yang lebih optimal.
Rambut gugur
Semasa
hamil, kadar keguguran rambut menjadi kurang disebabkan rembesan hormon
dari uri yang menghalang keguguran rambut. Sesetengah wanita pula
mungkin mendapati rambut tumbuh lebih lebat dari biasa.
Walaubagaimanapun selepas bersalin rambut anda akan luruh 2 kali ganda
lebih kerap dari biasa disebabkan rambut yang tumbuh berlebihan tadi.
Ini mungkin menyebabkan anda sedikit bimbang kerana takut
ia mungkin disebabkan pemakanan atau sebagainya. Tapi puan jangan risau,
dalam masa 6 bulan, rambut anda akan gugur dengan kadar biasa.
Sementara itu, makan makanan berzat dan elak dari mengering dan
mewarnakan rambut secara keterlaluan.
Perubahan warna kulit
Anda
mungkin perasan terdapat bintik bintik merah pada kulit muka dan leher
sebaik sahaja melahirkan, jangan bimbang kerana ia sebenarnya disebabkan
oleh saluran darah kecil yang pecah semasa proses meneran. Bintik ini
akan hilang selepas 1 minggu. Kesan tegangan pada perut
walaubagaimanapun tidak akan hilang dengan senang. Ia akan berubah dari
berwarna hitam kepada warna putih cuma selepas beberapa bulan. Perubahan
kulit lain seperti jaluran hitam ditengah perut akan hilang sepenuhnya
secara beransur ansur.
Perubahan emosi
Selain
dari perubahan fizikal, ibu juga kerap mengalami ganguan emosi seperti
‘mood swing’, dilanda kesedihan tak menentu, dan risau berpanjangan. Ada
juga yang mengalami masalah kemurungan atau dipanggil ‘baby blues’. Ia
selalunya berakhir selepas 10 hari dan dalam masa tersebut, cuba
dapatkan tidur secukupnya dan mintalah pertolongan dan nasihat dari saudara-mara atau ibu jika perlu. Sekiranya anda merasa kemurungan semakin teruk seperti rasa tiada harapan, berjumpalah dengan doktor.
Perut buncit dan berangin
Sebaik
sahaja melahirkan, fizikal anda akan masih kelihatan bulat, tidak
ramping dan ‘flabby’. Sesetengah masih kelihatan masih seperti orang
hamil disebab disebabkan usus yang mengandungi angin berlebihan. Jangan
risau. Keadaan ini hanya sementara kerana semua cecair badan dan lebihan
lemak yang anda kumpul semasa hamil akan hilang perlahan-lahan. Selepas
beberapa minggu, anda sudahpun 60-80% hampir kepada bentuk asal anda
seperti sebelum hamil. Sekiranya anda menyusu badan secara eklusif,
berat anda akan lebih berkurangan dengan kadar yang lebih cepat.
Terimakasih kepada bayi anda.
Pemeriksaan selepas pantang
Selepas
6 minggu, doktor anda akan memeriksa keadaan faraj dan rahim untuk
pastikan sistem peranakan anda pulih 100%. Ujian Pap dan US mungkin akan
dibuat. Ambil peluang ini untuk bertanya tentang kaedah perancang
keluarga, sebarang isu tentang penyusuan dan bayi atau apa jua masalah
yang menganggu fifkiran. Selalunya selepas 6 minggu anda sudahpun sihat
sepenuhnya dan dapat menyesuaikan diri sebagai seorang ibu dalam
menjalani kehidupan baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan