Selasa, 1 April 2014

Tempoh Pemulihan Selepas Bersalin








 Sudah pasti selepas bersalin anda memerlukan masa untuk pulih seperti sediakala kerana sepanjang mengandung dan kemudiannya melahirkan bayi, seluruh tubuh dan organ dalaman anda telah mengalami keletihan dan perubahan besar. Anda mungkin ingin tahu tentang tubuh badan anda dan beberapa tanda ketika proses pemulihan ini. Antara perkara yang kerap menjadi perhatian dan persoalan ialah;

 Rahim
Rahim anda akan mengambil masa 6 minggu untuk kembali ke bentuk asal. Saiz rahim sebenar adalah sebesar telur “double A” sahaja.



 Bengkak
Bengkak kaki dan badan mengambil masa 4-6 minggu untuk hilang sepenuhnya. Adalah normal untuk tubuh menjadi lebih bengkak dalan tempoh 1-2 minggu, asalkan anda tiada masalah darah tinggi. Pada waktu ini badan akan mengalami kekurangan air kerana anda mengalami dieresis. Oleh itu, minum air yang mencukupi adalah sangat penting untuk memastikan aliran susu badan yang optima dan mengurangkan risiko sembelit.

Pendarahan faraj
Pendarahan faraj atau nifas mengambil masa 4-8 minggu untuk berhenti sepenuhnya. Sekiranya ia berhenti selepas 3 minggu bersalin dan datang kembali selepas beberapa hari, ia juga adalah normal. Darah yang keluar itu akan bermula dengan warna merah sebelum ia akan beransur-ansur menjadi warna coklat dan seterusnya coklat muda. 

Luka Episiotomi
Luka ini akan mengambil masa 1-2 minggu untuk pulih daripada sakit dan 4-6 minggu untuk pulih sepenuhnya. Pastikan ia bersih dari cemaran seperti najis dan sentiasa kering untuk mempastikan ia lebih cepat sembuh. Lap dengan kain bersih dan anda boleh mengunakan alat pengering rambut jika ada.
 Luka Pembedahan Cesarean
Pembedahan ini akan mengambil masa 4 minggu untuk pulih daripada sakit dan 8 minggu untuk pulih sepenuhnya. Berjumpalah dengan doktor sekiranya tempoh pemulihan anda memakan masa lebih lama daripada yang dijangkakan.
 Stretch Mark dan Warna kehitaman pada kulit
Mengambil masa 6 bulan sehingga 1 tahun untuk hilang sepenuh, selalunya dari kemerahan ia akan menjadi parut putih yang pudar. Mereka yang berkulit gelap mungkin akan mengambil masa yang lebih lama

 Kebas Tangan ( Carpal Tunnel Syndrome)
Selalunya hilang dengan sendiri selepas 6 minggu bersalin. Carpal tunnel syndrome terjadi disebabkan tekanan pada urat saraf pada pergelangan tangan yang kerap terjadi disebabkan kehamilan. Kalau tangan anda masih kebas dan sakit selepas tempoh tersebut, eloklah berjumpa pakar untuk rawatan seterusnya.
 
       
Buasir
Buasir atau hemorrhoid mengambil masa 4-6 minggu untuk pulih sepenuhnya. Walaubagaimanapun, sekiranya anda pengidap buasir kronik, ia mungkin akan kekal selagi tiada pembedahan dilakukan. Jumpa dengan doktor pakar sekiranya buasir masih tidak hilang walau setelah beberapa bulan bersalin.
 
       
Berat badan
Kenaikan berat badan semasa hamil kebanyakannya disebabkan oleh berlebihan bendalir tubuh dan juga tumbesaran rahim serta bayi. Kenaikan berat badan yang optimal adalah dalam lingkungan 10-15 kilogram selama sembilan bulan anda hamil. Kebanyakan dari pertambahan berat ini akan hilang dalam tempoh 2-3 bulan selepas bersalin. Sekiranya anda kelihatan masih berisi selepas 6 bulan bersalin, ia mungkin disebabkan anda mengalami kenaikan yang keterlaluan semasa hamil.
 Perut buncit dan berkedut
Badan memerlukan 6 bulan – 1 tahun untuk kembali langsing tetapi bergantung kepada cara pemakanan anda semasa pantang dan cara senaman yang anda praktikkan. Buat senaman perut 3-4 kali seminggu semasa pantang dan anda mungkin akan langsing dalam masa yang lebih singkat. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang menjalani pembedahan Cesarean, ia mungkin akan mengambil masa yang lebih lama disebabkan lemak kebal yang terbentuk pada sekitar parut cesarean.

Menjaga Luka Episiotomi


Sekiranya anda mengalami kelahiran normal, kemungkinan besar anda mempunyai luka episiotomi.
Untuk memastikan luka anda pulih dengan baik, cuba amalkan tip-tip ini:

Pad Ais. Sebaik sahaja melahirkan, letakan pad ais pada luka, ia bukan sahaja mengalakkan luka cepat baik malahan mengurangkan sakit. Letak pada luka selama 10 minit 3-4 jam sekali.
Pastikan kawasan perineum bersih. Darah nifas dan air kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman pada luka. Pastikan luka bersih dengan membasuh mengunakan air biasa atau lebih baik lagi mengunakan cecair pembasmi kuman yang dipreskripsi oleh doktor. Tidak perlu gunakan cairan sabun yang kuat. Bersih dari depan kebelakang untuk mengelakan cemaran najis.
Semasa kencing, cuba duduk secara mencangkung (squat) dan siram air suam semasa kencing.
Pastikan ia kering. Mengeringkan kawasan luka menggalakkan proses pemulihan. Bilas faraj 2-3 jam sekali dan biarkan kering dari darah nifas. Anda boleh mengunakan pengering rambut jika mahu. Anda juga digalakkan untuk mendedahkan luka sekali sekala.
Jangan duduk atau berbaring terlalu lama. Guna bantal donat atau pelampung berenang berbentuk bulat untuk mengelakkan dari tekanan pada luka.
Semasa buang air besar, tekan dengan lembut kawasan episiotomi untuk mengurangkan tegangan. Ia juga dapat mengurangkan sakit dan mengelakkan jahitan terbuka.
Dapat pil penahan sakit sekiranya sakit. Anda boleh makan paracetamol atau ubat yang lebih berkesan seperti ponstan.
Elak dari sembelit. Pastikan minum air secukup untuk melancarkan perjalanan usus. Banyakkan makan fiber atau jika mahu, boleh mencuba Lactulose atau Fybo-gel. Boleh didapati di farmasi berdekatan. Ubat enema tidak digalakan sekiranya luka anda teruk.
Sitz bath. Amalkan  sitz bath dengan merendam pungung anda dalam besin berisi air garam. Ia mengurangkan sakit dan membersih luka sehingga dalam vagina. 
Senaman Pelvic floor. Buat senaman kegel secara rutin. Ia membuat luka cepat sembuh dengan mengalakkan perjalanan darah ke vagina. Buat 100-200 kali sekali. Anda akan dapat melihat perubahannya. 
Pastikan tiada tanda jangkitan kuman seperti kesakitan dan pembengkakan. Jumpa doktor sekiranya ada masalah ini. 
Jangan percaya pada mitos. Mitos seperti minum air banyak akan meyebabkan peranakan berair atau memakan sayuran kerana menyebabkan angin adalah tidak benar sama sekali. Minum air secukupnya penting kerana selepas 1-3 hari bersalin badan secara semula jadi akan membuang air lebihan yang terkumpul semasa hamil dan ini akan membuatkan badan kekurangan air medadak, menjurus kepada masalah sembelit dan kekurangan susu badan. Kekurangan air juga menyebabkan luka episiotomi sukar sembuh dan masalah sembelit pula akan menyebabkan kesakitan ketara pada luka anda.

Beberapa Masalah Selepas Bersalin dan tip meredakannya

Sakit pada Faraj

Sekiranya anda mengalami episiotomi atau koyakan semada melahirkan, anda akan mengalami sakit pada faraj. Kesakitan mungkin akan belarutan sehingga 2-3 minggu terutama semasa anda berjalan atau duduk. Koyakan yang panjang mungkin akan mengambil lebih masa untuk sembuh sepenuhnya.
Tip untuk mempastikan luka koyakkan cepat baik


  •  Letak pad sejuk atau berais di sekitar tempat luka.
  • Pastikan tempat luka kering dan bersih- Bilas faraj 2-3 jam sekali dan biarkan kering dari darah nifas.Anda boleh mengunakan pengering rambut jika mahu.
  • Semasa kecing, cuba duduk  secara "squat" dan siram air suam semasa kencing.
  • Semasa buang air besar, tekan dengan lembut kawasan episiotomi untuk pastikan ia tidak terlalu tegang. Ia mengurangkan sakit dan mengelakan jahitan terbuka.
  • Duduk perlahan lahan, jaga pergerakkan punggung semasa duduk. Kalau masih sakit, guna bantal berbentuk donut untuk mengurangkan tegangan.
  • Buat senaman kegel. Ia menolong menguatkan otot pelvis. Cuba selepas sehari bersalin dengan mengemutkan otot faraj seperti tahan kencing. Buatlah 4-5 kali setiap sesi selama 40-50 kali sehari.
  • Pastikan tiada tanda jangkitan kuman seperti kesakitan dan pembengkakan. Jumpa doktor sekiranya ada masalah ini.

  • Darah nifas

    Anda  akan mengalami pengaliran darah nifas sehingga 6 minggu selepas bersalin. Pada mulanya ia merah dan banyak, tapi lama kelamaan ia akan beransur kurang menjadi berwarna coklat. Sekiranya anda duduk atau baring buat seketika, anda mungkin perasan pendarahan yang keluar terutama semasa dan selepas menyusukan bayi. Itu normal dan anda janganlah panik pula. Pastikan pad sanitari ditukar dengan kerap untuk mengelakkan jangkitan kuman pada luka. Jangan cemas sekiranya keluar darah beku sekali sekala. Ia kerap terjadi.
    Walaubagaimanapun, sekiranya  anda mengalami masalah ini, jumpalah doktor dengan segera.
    •  Pad sanitari dipenuhi darah walau ditukar setiap setengah jam
    • Darah yang keluar berbau busuk
    • Darah beku yang keluar lebih besar dari bola golf
    • Mengalami demam 38 darjah atau lebih

    Sakit rengat

     

    Sakit pada rahim sebaik melahirkan memang kerap terjadi tapi puan jangan risau kerana ia cuma dari rahim yang mengecut dengan kuatnya. Kecutan rahim menghalang aliran darah dari rahim seterusnya mengurangkan risiko tumpah darah. Sakit juga sering berlaku semasa anda menyusu dan ia lebih kerap terjadi pada kandungan kedua dan seterusnya. Walaubagamanapun, sekiranya sakit rahim makin kuat disertai dengan darah yang berbau busuk. Eloklah anda jangan membuang masa lagi. Jumpa doktor untuk pastikan tiada jangkitan kuman pada rahim.

    Susah kencing

    Bengkak dan calar pada tisu sekitar ruang faraj dan pundi kencing kadang kadang boleh menyebabkan anda sukar kencing selepas melahirkan. Cuba buat senaman kemutkan faraj semasa kencing dan letakkan pad suam atau sejuk pada faraj untuk kurangkan bengkak. Sukar kencing terjadi tidak lama kerana ia hilang dengan sendiri selepas beberapa hari. Walaubagaimanapun, sekiranya faraj menjadi pedih dan anda kerap terasa hendak kencing setiap 1 jam ia mungkin tanda jangkitan kuman pada pundi kencing. Jumpalah dengan doktor ye.

    Terkencing tanpa kawalan

     

    Kehamilan dan kelahiran menyebabkan tisu sekitar faraj dan sekeliling pangkal pundi kencing tegang secara keterlaluan dan luka. Ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf dipersekitarannya menyebabkan kawalan kencing terganggu dan anda akan mudah terkencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Tapi anda bernasib baik kerana keadaan ini terjadi untuk sementara waktu sahaja dan anda selalunya pulih sepenuhnya selepas 3 bulan. Amalkan senaman kegel kerana ia mempercepatkan proses pemulihan dan pakai pad wanita sekiranya perlu.

    Buasir

     

    Sekiranya anda merasa sesuatu keluar dari dubur dan sakit setiap kali buang air besar, anda mungkin mengalami buasir. Buasir terjadi akibat tekanan yang tinggi semasa meneran yang menyebabkan salur darah sekitar dubur menjadi kembang. Untuk  megurangkan rasa tidak selesa, puan disarankan menggunakan pad berais, diletak pada bahagian dubur. Sekiranya sakit keterlaluan atau buasir menjadi semakin bengkak, anda disarankan berjumpa doktor. Terdapat ubat yang selamat dan boleh dimakan walaupun anda benyusu badan. Untuk mengurangkan risiko buasir, amalkan memakan makanan berfiber tinggi dan minum air secukupnya. Pastikan anda sentiasa aktif semasa hamil dan sekiranya najis keras, anda boleh meminta preskripsi doktor untuk ubat lembutkan najis.

    Sembelit

    Sembelit kerap terjadi mungkin kerana takut luka episiotomi terbuka semasa membuang air besar atau sebab sakit kerana buasir yang bengkak. Untuk mengelakan dari najis menjadi keras, amalkan memakan sayuran dan makanan berfiber tinggi semasa pantang, dan minum sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Jangan dengar tentang mitos orang tua pasal minum air segelas sehari dan tentang sayur sejuk sayur panas dan sebagainya. Dehidrasi dari kekurangan air sebab terlalu berpantang menyebabkan luka anda lambat baik dan air susu menjadi kurang. Sekiranya anda masih lagi sembelit selepas tip diatas, Jumpa saja doktor untuk  laksatif yang sesuai semasa pantang.

    Sakit Buah dada

    Selepas beberapa hari bersalin, buah dada akan dipenuhi susu dengan banyaknya dan payudara anda akan mula merasa sakit, berat dan bengkak. Rasa tidak selesa pada buah dada selalunya berakhir sebaik sahaja bayi anda mula pandai mengisap susu. Sekiranya masih bengkak, cuba perah mengunakan ‘breast pump’ yang sesuai. Anda juga boleh meletakan tuala sejuk atau suam pada buah dada untuk mengurangkan bengkak. Ubat penahan sakit seperti panadol dan ponstan adalah selamat dan boleh dimakan walaupun anda menyusu.  Bagi mereka yang mengalami susu yang keluar terlalu banyak sampai meleleh, jangan tension pula, anggap itu satu kelebihan dan cuba gunakan pad payudara. Bila malam, cuba letakkan tuala pada buah dada untuk serapan yang lebih optimal.

    Rambut gugur

    Semasa hamil, kadar keguguran rambut menjadi kurang disebabkan rembesan hormon dari uri yang menghalang keguguran rambut. Sesetengah wanita pula mungkin mendapati rambut tumbuh lebih lebat dari biasa. Walaubagaimanapun selepas bersalin rambut anda akan luruh 2 kali ganda lebih kerap dari biasa disebabkan rambut yang tumbuh berlebihan tadi. Ini mungkin menyebabkan anda sedikit bimbang  kerana takut ia mungkin disebabkan pemakanan atau sebagainya. Tapi puan jangan risau, dalam masa 6 bulan, rambut anda akan gugur dengan kadar biasa. Sementara itu, makan makanan berzat dan elak dari mengering dan mewarnakan rambut secara keterlaluan.

    Perubahan warna kulit

    Anda mungkin perasan terdapat bintik bintik merah pada kulit muka dan leher sebaik sahaja melahirkan, jangan bimbang kerana ia sebenarnya disebabkan oleh saluran darah kecil yang pecah semasa proses meneran. Bintik ini akan hilang selepas 1 minggu. Kesan tegangan pada perut walaubagaimanapun tidak akan hilang dengan senang. Ia akan berubah dari berwarna hitam kepada warna putih cuma selepas beberapa bulan. Perubahan kulit lain seperti jaluran hitam ditengah perut akan hilang sepenuhnya secara beransur ansur.

    Perubahan emosi

    Selain dari perubahan fizikal, ibu juga kerap mengalami ganguan emosi seperti ‘mood swing’, dilanda kesedihan tak menentu, dan risau berpanjangan. Ada juga yang mengalami masalah kemurungan atau dipanggil ‘baby blues’. Ia selalunya berakhir selepas 10 hari dan dalam masa tersebut, cuba dapatkan tidur secukupnya dan mintalah pertolongan dan nasihat  dari saudara-mara atau ibu jika perlu. Sekiranya  anda merasa kemurungan semakin teruk seperti rasa tiada harapan, berjumpalah dengan doktor.

    Perut buncit dan berangin

    Sebaik sahaja melahirkan, fizikal anda akan masih kelihatan bulat, tidak ramping dan ‘flabby’. Sesetengah masih kelihatan masih seperti orang hamil disebab disebabkan usus yang mengandungi angin berlebihan. Jangan risau. Keadaan ini hanya sementara kerana semua cecair badan dan lebihan lemak yang anda kumpul semasa hamil akan hilang perlahan-lahan. Selepas beberapa minggu, anda sudahpun 60-80% hampir kepada bentuk asal anda seperti sebelum hamil. Sekiranya anda menyusu badan secara eklusif, berat anda akan lebih berkurangan dengan kadar yang lebih cepat. Terimakasih kepada bayi anda.

    Pemeriksaan selepas pantang

    Selepas 6 minggu, doktor anda akan memeriksa keadaan faraj dan rahim untuk pastikan sistem peranakan anda pulih 100%. Ujian Pap dan US mungkin akan dibuat. Ambil peluang ini untuk bertanya tentang kaedah perancang keluarga, sebarang isu tentang penyusuan dan bayi atau apa jua masalah yang menganggu fifkiran. Selalunya selepas 6 minggu anda sudahpun sihat sepenuhnya dan dapat menyesuaikan diri sebagai seorang ibu dalam menjalani kehidupan baru.


    Pemberitahuan

    Nombor akaun cimb

     kak ummu telah bertukar kepada  

     7608628109 ( muhammad bin suaibunaha)