Rabu, 23 Januari 2013

BERCINTALAH BERKALI-KALI


 

Melalui pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan jadi semakin becok tetapi lelaki sebaliknya jadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai-selesai. Manakala lelaki yang dulunya, ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (ada kalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah.

Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin “bisu”. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata bila berdepan dengan suami. Suami apatah lagi, jika di luar rumah pun sudah semakin pendiam di dalam rumah lebih-lebih lagi. “Mati kutu” memanjang.

Pernahkah kita kehilangan kata-kata apabila bertemu dengan isteri atau suami? Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu rumah tangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Seolah-olah sudah tidak ada apa lagi yang boleh dikongsi. 

Kekadang perasaan itu datang kerana kerap kali apabila suami bersuara hendak meluahkan masalah, isteri membalasnya dengan selamba. Ah, masalah aku lebih besar. Atau terdetik di hati, balik-balik yang itu juga. Bosan. Begitu juga bagi pihak suami, sudah lali mendengar “siaran ulangan” yang kerap diperdengarkan isteri. Masalah anak, masalah kesihatan, masalah wang… tidak ada cerita baru!

Ada kalanya duduknya rapat-rapat, tetapi sudah tidak bertemu lagi. Masing-masing menonton TV, dari awal rancangan hinggalah tamat siaran, tetapi tidak ada yang dibualkan. Tidak ada yang dapat dikongsikan. Boleh jadi dalam kereta, sisuami sibuk memandu, di sebelahnya isteri membisu. Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang menjadi “mediator” secara tidak rasmi, terhubung jugalah kata-kata atas apa yang ditimbulkannya. Bila anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.

Oh, maaf… saya tidak bercakap tentang “orang baru” yang masih berbulan madu, ketika itu segala-galanya indah sahaja. Perkara yang kecilpun boleh menjadi topik perbualan yang berjela-jela. Sejak senja melabuh tirainya hingga terkuak mentari pagi, cerita tidak habis-habis lagi. Ini cerita orang lama. Apakah kehilangan kata-kata menunjukkan kehilangan cinta? Mana yang lebih tepat, cinta yang melahirkan kata-kata atau kata-kata yang melahirkan cinta?

Bagi saya, kedua-duanya betul dan patut dipraktikkan. Benar, sewaktu mula bercinta dahulu, cintalah yang melahirkan kata-kata, tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali.

Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa terbuka mendengarnya.

Kata bijak pandai, the first duty of love is to hear – tugas cinta yang pertama ialah untuk mendengar. Itu betul, tetapi jika tidak ada apa yang hendak diperkatakan apa pula yang hendak kita dengarkan? Jadi untuk menjadi pendengar, mesti ada “penuturnya”. Kata-kata yang baik umpama sedekah, kita mesti ringan mulut untuk memulakannya. Ada kalanya berdiam diri tidak terpuji, apatah lagi jika sudah ke tahap menimbulkan sangsi.

Ada orang yang petah dan becok bercakap dengan orang lain di tempat kerja, tetapi bertukar jadi pendiam di dalam keluarga sendiri. Sikap peramahnya boleh bertukar jadi pemarah bila di rumah. Marah yang tertahan itulah kekadang menimbulkan diam yang panjang. Lama-kelamaan, jika tidak diuruskan baik, marah terpendam akan menjadi dendam. Dendam itulah yang akan mewujudkan diam yang panjang!
Di dalam ilmu pengurusan komunikasi ada hukum yang dinamakan “hukum 24 jam”.

Hukum ini menyatakan jangan dibiarkan krisis yang berlaku antara rakan sekerja melepasi temph 24 jam. Mesti ada di antara mereka (seelok-eloknya kedua-duanya) bertindak memecahkan kebuntuan itu dengan mengambil inisiatif menegur, memandang atau memberikan sebarang reaksi atau petunjuk ingin berbaik-baik semula.

Jangan malu alah untuk memulakan. Justeru, jika tempoh 24 jam sudah berlalu, dan tidak ada sebarang inisiatif dilakukan, maka peluang untuk berbaik-baik semula akan menjadi lebih sukar. Maka begitulah dalam sebuah rumah tangga, teguran dan percakapan yang pertama untuk mengujudkan kemesraan semula setelah lama membisu adalah sangat mahal harganya.

Percayalah inilah termasuk dalam tuntutan menghubung silaturahim yang sangat besar pahalanya di sisi Islam. Dalam Islam, siapa yang memulakan langkah untuk memberi satu kebaikan sesungguhnya mendapat ganjaran yang lebih besar daripada pihak yang menerimanya. Sebab itu, orang yang datang berziarah lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang diziarahi.

Maka begitulah dalam rumah tangga. Untuk bercinta lagi, luahkanlah kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan dendam. Cari-carilah topik yang menarik untuk diperbualkan.

 Antara kaedahnya ialah:
• Berdoa untuk Allah ilhamkan kata-kata yang baik dan menarik semasa memulakan perbualan.

• Menerima dan berkongsi hobi dengan pasangan.

• Ulas apa yang anda dengar, lihat atau baca dengan pasangan serta kaitkan dengan situasi terkini dalam rumah tangga.

• Sekali-sekala masak bersama resipi kesukaannya.

• Jangan prasangka dan curiga dengan selalu memaafkan selagi pasangan tidak melanggar syariat.

• Amalkan peraturan 24 jam. Jangan biarkan “gencatan suara” melebihi masa 24 jam. Mujahadahlah untuk meminta maaf secara resmi atau tidak resmi.

• Tempoh-tempoh yang dirasakan sukar dalam perhubungan hendaklah diisi dengan amalan habluminallah seperti solat, munajat dan taubat. Jangan selesaikan masalah dengan satu masalah lain

Pernah satu ketika seorang Sahabat memberitahu Rasulullah s.a.w. akan rasa sayangnya ke
pada seorang sahabatnya yang lain. Rasulullah pun bertanya semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya. Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian.

 Lantas, Rasulullah pun berkata, “Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya.”
Jika anda menyayangi seseorang, nyatakanlah. Dalam rumah tangga, seorang suami harus menyatakan kasih sayang kepada isterinya. Begitulah sebaliknya. Tetapi saya kurang setuju jika perkataan “sayang” itu diluahkan berulang-ulang. Pernah saya terdengar seorang suami memarahi isterinya dengan perkataan sayang. “Yang, dah berapa kali saya bagi tahu jangan buat macam ni. Kenapa awak degil lagi?” Begitulah herdik sisuami sambil menjegilkan mata dan meninggikan suara. Bagaimana? Apakah panggilan sayang sebegitu masih romantik lagi?

Kasih sayang ini boleh dinyatakan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Pertama, secara tindakan, kedua secara lisan. Sayang yang dilahirkan dalam bentuk tindakan itu lebih besar impaknya berbanding secara lisan. Jangan menanam tebu di mulut tetapi menyembunyikan racun di hati. Buktikan sayang, dengan perbuatan kerana cinta itu perbuatan (love is a verb) bukan perkataan. Namun, alangkah indahnya jika perbuatan yang baik diiringi juga dengan perkataan yang baik.

Sayangnya, ramai suami atau isteri telah melakukan kesilapan. Kesilapan mereka bukannya tidak menyayangi pasangan, tetapi tidak ataupun semakin kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk perbuatan ataupun kata-kata. Kita tersilap kalau beranggapan sekali bercinta, tetap cinta selamanya. Yang sebenarnya, cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali. Berkali-kali bercinta, baru cinta itu abadi. Bukankah bijak pandai mengingatkan bahawa satu kebaikan (termasuk cinta) perlu dimulakan berkali-kali.

Benar, setelah usia perkahwinan meningkat, kalimat-kalimat cinta seperti “I love you” atau “Saya sayangkan awak” sudah semakin kurang kedengaran. Ramai beranggapan, mereka sudah terlalu tua untuk mengucapkan kalimat-kalimat yang lazimnya diucapkan sewaktu mula-mula berkahwin dahulu. Tetapi apakah kita sudah terlalu tua untuk menyatakan cinta dalam bentuk tindakan dan percakapan?

Sebenarnya, banyak perkataan yang boleh masih boleh dipilih untuk menggantikan kalimat-kalimat romantik yang susah dirasakan malu dan segan untuk diucapkan sewaktu usia tua. Mungkin perkataan itu biasa-biasa sahaja tetapi intonasi dan bahasa badan yang mengiringinya mampu mencipta kesan yang luar biasa.

Kata-kata baik wajar diiringi oleh belaian fizikal. Katakanlah isteri kita membuat sesuatu perkara yang baik, maka kita pun membelai rambutnya atau menepuk bahunya sebagai tanda sokongan dan penghargaan. Ini adalah salah satu bentuk sentuhan fizikal yang sering diabaikan terutamanya oleh pasangan suami isteri yang berusia 40 tahun ke atas. Sedangkan, semakin bertambah usia perkahwinan, sewajarnya semakin banyak belaian fizikal yang tidak dibauri oleh keinginan seks.

Selain daripada itu, kasih sayang juga mesti dibuktikan dalam bentuk tindakan pembelaan. Katakanlah isteri menghadapi krisis dengan keluarganya atau kawan-kawan di tempat kerja, maka kita sebagai suami perlu membelanya. Membela di sini bukan bermaksud membenarkan sahaja sikap isteri walaupun kita tahu dia bersalah. Tetapi membela dalam ertikata bersimpati dan empati terhadap krisis yang mereka alami.

Juga dengan memberi jalan penyelesaian ataupun panduan-panduan untuk mereka bertindak dalam menyelesaikan sebarang persengketaan peribadi tersebut. Jangan sekali-kali kita menempelak, menyindir atau membiarkan mereka keseorangan. Buktikan, kita sentiasa di sisi isteri ketika dia menghadapi “serangan” orang lain. Walaupun ada kalanya (menerusi penilaian kita) dia yang bersalah… jangan dipersalahkan, cuma perbetulkan sahaja!

Cara bertungku

 Contoh batu tungku









 Terdapat 2 kaedah bertungku:
  1. Tungku refleksologi-Tungku menggunakan  batu gunung  berapi.Tungku diletakkan di bahagian tapak kaki kerana tapak kaki ada banyak saraf yang mengkontrol badan.Dengan meletakkan tungku pada titik yang betul sekaligus akan merawat bahagian yang sakit.
  2. Tungku Badan  - Tungku menggunakan tungku batu atau besi

Cara memilih bentuk tungku :
Kaum ibu dahulu akan memilih tungku berbentuk lonjong atau lebih kurung bulat bujur atau dekat sama seperti segitiga. Cuba lihat gambar yang saya lakarkan moga ia boleh membantu anda.
Pastikan no satu dan dua dlm rajah sbb saya akan gunakan nombor ini untuk membantu ibu -ibu cara terbaik menggunakan tungku.

Batu sungai begini di panaskan atas api . Di balut dengan daun sirih atau daun mengkudu atau daun lengkuas seperti di bawah dan digunakan sebagai tungku ibu lepas bersalin. .
 Kain pembalut tungku bersama daun lengkuas

Cara Memanaskan Batu Tungku :. 
Gunakan dapur gas memasak anda, dengan api yang perlahan panaskan batu . ingat jangan gunakan api yg besar sbb batu akan rekah dan terbelah. Lagipun api yang besar menjadikan batu cepat panas dan cepat sejuk juga. Tapi dgn api yg kecil panas akan meresap dlm batu , panas akan tahan lama dan batu sukar retak. Biar lebih kurang 5-15 minit, jangan terlalu lama kalau tak kain pun boleh terbakar. Nak lebih baik boleh la dapatkan daun sirih sebagai alas atas kain sebelum meletakkan batu tungku.Biasanya kepanasan tungku batu ini bertahan lebih kurang 1jam.

Cara bertungku ibu lepas bersalin lebih focus kepada proses mengecutkan rahim, menolak rahim keatas dan mengecilkannya. Letak bahagian bucu batu yang besar di atas ari ari dan tolak bahagian yang lebih kecil keatas. Buatlah berulang kali disetiap sudut bawah ari ari anda .Dengan menolak batu dari bawah ke atas

Bahagian badan lain yang perlu ditungku ialah bahagian dada, ulu hati, tengkuk, ketiak dan belikat. Tungku juga di bahagian atas buah dada ,letakkan juga perlahan-lahan  disekitar buah dada bagi melancarkan pengaliran darah Bertungku dibahagian ini dilakukan ketika ibu terbaring.

Dibawah ini  kak ummu turunkan cara bertungku di bahagian perut bagi wanita:
(Copy dari blog pengalaman seorang ibu) :

 Bahagian batu yg besar itu akan memanaskan rahim dan mengecutkannya.Bahagian kecil pula akan membantu menolak rahim dengan lembut. sebab itu ada batu tungku di olak seperti bentok botol.. Itu kepercayaan org melayu. Dan sekiranya bercanggah dgn anda itu hak individu.

   AWAS bagi ibu yang baru melahirkan dan ingin bertungku, jangan letak tungku di tengah perut.

Tungku juga membantu kita mengurangkan lemak bahagian perut. Puan -puan bolehlah  bertungku selama 1/2 iam pagi dan petangKalau sapu pati halia juga lebih selesa. Tapi pastikan dulu kulit anda tidak sensetif pada panas minyak minyak tertentu..

Tips: Selalunya kain batik di gunakan untuk membalut tungku tapi boleh juga diganti dengan kain cotton atau tuala kecil.. Masa tungku masih panas lapik perut anda dengan baju agar anda yakin dengan suhu yg selesa dan tidak mencederakan kulit anda. Bila rasa ok, baru selak baju dan tungku terus ke kulit perut. Bila tungku makin sejuk kurangkan lapik tungku anda, so anda dapat guna dlm masa yg lama. Lepas tungku boleh letak di bawah pinggang, bahagaian belakang pinggang, pungung dan kaki.

Tetapi untuk tujuan lain.. bertungku dgn rasa panas telah memadai. Letak dibahagian badan yg sakit dan selesa bagi anda

Pastikan tungku yang telah digunakan diletak di tempat yg selamat. Elakkan dr mencederakan anak dan org lain. 


 Cara bertungku seluruh badan   bagi mengurangkan sakit-sakit badan dan lenguh-lenguh badan:. 

  • Batu tungku dipanaskan lebih kurang selama 30 minit. Setelah itu, dibalut dengan beberapa lapisan kain yang telah diletakkan daun mengkudu. Setelah dibalut dengan rapi, hujungnya diikat dengan ketat supaya tidak terburai.
  •  Tungku di  bahagian ulu hati. Tujuannya untuk memecahkan angin di bahagaian perut dan ulu hati.  Setelah itu barulah ke bahagian belikat kanan dan kiri untuk beberapa minit.

  • Di bahagian tengkuk, bertungku dilakukan dengan meletakkan tungku di bawah tengkuk seperti menggunakan bantal. Bahagian ini perlu ditungku untuk memulihkan perjalanan darah di bahagian kepala dan leher. letakkan di titik bekam kaahil,dan alakhadian.

  • Di bahagian bawah pinggang pula, anda perlu menungku bahagian betis, peha, punggung, pinggang, pelipat, pergelangan kaki dan tapak kaki. Ia memakan masa selama 15-20 minit. Pada bahagian terakhir, iaitu di tapak kaki, kaki dirapatkan menjadi satu kemudian digerakkan ke hadapan dan kebelakang, atau dengan menggolek-golekkan tungku kehadapan dan ke belakang sekiranya tungku itu berbentuk bulat atau bujur. Biarkan tungku berada di bahagian ini sehingga sejuk.
  • Lebihkan sikit masa  pada bahagian peha belah luar kiri kanan kaki. Ini kerana disitulah terletaknya  urat utama untuk darah mengalir ke kaki. kalau block darah di situ,akibtnya..kaki cepat lenguh

 Bertungku memerlukan kerajinan bagi mandapat kesan yang optimal. Selamat mencuba.

Khamis, 10 Januari 2013

Pelbagai cara penjagaan selepas bersalin mengikut bangsa



Amalan tradisional orang Melayu selepas bersalin

Bahagian tubuh kita yang paling tertekan semasa mengandung ialah otot perut, otot lantai pelvik, bahagian belakang dan organ-organ reproduksi. Kesemua organ-organ ini perlu dipulihkan sepenuhnya selepas proses melahirkan. Otot lantai pelvik yang pulih sepenuhnya selepas bersalin akan membantu lubang faraj kembali kepada saiz yang asal.
Otot lantai pelvik yang mengembang akan menyebabkan lubang faraj mengembang , dan seterusnya menyebabkan kurang sensasi semasa seks. Lubang faraj yang mengembang kadang-kala boleh mengeluarkan bunyi yang memalukan, boleh menyebabkan air kencing menitis apabila batuk atau bersin, seks yang menyakitkan, sakit pinggang dan belakang, dan rasa tekanan di kawasan pelvis.
Kualiti dan kedudukan otot lantai pelvik dan ligamen yang menyokong otot tersebut menentukan kedudukan yang betul bagi organ-organ di abdomen. Oleh itu, kedudukan otot lantai pelvik adalah sangat penting untuk kesihatan dalaman wanita.

Apa yang berlaku selepas proses melahirkan?

Selepas proses melahirkan melalui lubang faraj, semua organ-organ reproduksi akan berasa lemah dan lebam, menyebabkan kesakitan. Kawasan serviks akan kekal mengembang sehingga seminggu selepas bersalin. Selepas itu ia akan menebal, mengecut, dan kembali ke saiz asal. Lubang faraj akan bengkak dalam satu hingga dua hari. Dinding faraj dan kawasan kemaluan akan menjadi sangat sensitif beberapa minggu selepas bersalin dan akan kekal lemah selama 2-3 bulan.
Rawatan mengguna ‘haba’yang boleh memanaskan boleh melegakan kesakitan, meningkatkan peredaran darah dan menggalakkan proses penyembuhan. Penggunaan herba mandian, pencuci herba faraj dan pengambilan minuman herba juga boleh membantu proses penyembuhan, dan mengurangkan jangkitan.
Semasa mengandung, ibu-ibu berjalan dengan belakang yang agak melengkung untuk mengalas berat abdomen yang bertambah. Di samping itu, otot perut juga hilang kekuatan semasa mengandung. Jadi, untuk beberapa bulan selepas bersalin ibu-ibu baru mungkin akan terdedah kepada sakit belakang dan pinggang. Kawasan abdomen akan terus membuncit dan menggeleber, dan perut akan kekal ‘longgar’ untuk beberapa minggu. Ramai wanita akan terasa sensasi ‘kekosongan’ dalam perut.
Oleh itu, sangatlah penting untuk memulihkan dan menguatkan semula otot abdomen yang lemah, dan inilah yang menyebabkan pemakaian bengkung adalah sangat penting selepas bersalin. Penggunaan bengkung menyokong bahagian belakang dan menguatkan semula otot abdomen manakala penggunaan herba yang disapu pada perut sebelum memakai bengkung adalah penting untuk menegangkan balik perut yang menggeleber. Inilah asas penjagaan selepas bersalin cara tradisional orang Melayu.

Penjagaan berpantang orang Melayu

Tradisi orang Melayu, ibu-ibu yang baru bersalin mengikuti 44 hari tempoh berpantang dengan menggunakan herba-herba, rempah dan minyak untuk membolehkan mereka sembuh dan segar sepenuhnya.
Kesan rawatan tradisional dalam penjagaan selepas bersalin sangat dihargai oleh ramai ibu-ibu yang telah mengamalkannya .Ia telah terbukti bahawa ibu-ibu yang tekun mengikuti amalan berpantang cara tradisional akan kembali pulih sepenuhnya, segar, lansing dan bertenaga saperti semasa sebelum mengandung (pra-kehamilan).
Jika semua amalan cara tradisional yang disyorkan diikuti dengan sepenuhnya, ibu-ibu yang baru melahirkan dijangka boleh pulih sepenuhnya selepas 44 hari, termasuk mendapatkan kembali bentuk dan berat yang asal, tanpa perlu melakukan apa-apa senaman. Pemulihan seratus peratus dijangka boleh dicapai selepas berpantang 100 hari. Dikalangan masyarakat Melayu, ada ibu-ibu yang masih segar dan sehat walau telah melahirkan sepuluh orang anak kerana mereka tekun berpantang sepenuhnya selepas setiap kali melahirkan anak.
Rawatan penjagaan selepas bersalin juga mampu merawat ibu-ibu yang mengalami penyakit seksual atau yang berkaitan dengan rahim. la adalah benar-benar satu warisan yang tidak seharusnya diabaikan dan dilupakan.
Amalan berpantang orang Melayu berkisar kepada beberapa elemen
Penggunaan herba adalah ciri utama dalam penjagaan selepas bersalin cara tradisional Melayu. Berbagai herba boleh dimakan atau disapu dalam bentuk segar atau kering, bunga, akar kayu, atau ekstrak dijadikan kapsul. Sesetengah campuran herba ditumbuk dan disapu pada seluruh badan atau pada bahagian tertentu seperti di abdomen untuk menggalakkan peredaran darah, di dahi (pilis) untuk menghilangkan angin dan mencegah migrain selepas bersalin kerana kekurangan tidur. Merendam dan membilas kawasan faraj dengan rebusan herba boleh membersihkan, menghilangkan bau, menyembuhkan dan paling penting mengetatkan otot faraj.
Ciri kedua dalam penjagaan selepas bersalin cara tradisional orang Melayu adalah penggunaan ‘haba’. Misalnya penggunaan batu sungai yang dipanaskan atau ‘bertungku’ untuk membantu memecahkan lemak, mengecutkan rahim dan mengembalikan bentuk badan seperti waktu pra-kehamilan. Mandi dengan herba mandian untuk membantu mengembalikan tenaga dan menghilangkan bau badan dan menyapu minyak urut herba pada seluruh badan untuk menggalakkan peredaran darah dan mengeluarkan takungan air dalam badan juga diamalkan. Memakai ‘tapel’ atau campuran herba pada abdomen untuk menggalakkan peredaran darah ke kawasan perut dan pengambilan jamu atau minuman herba juga memanaskan badan .
Ciri ketiga ialah urutan cara tradisional Melayu selepas bersalin untuk menggalakkan peredaran darah dan mengelakkan rahim dari kendur. Berurut selepas bersalin dilakukan sekurang-kurangnya 6 hingga 7 kali sepanjang tempoh berpantang. Urut membantu memperbaiki aliran darah melalui otot, melancarkan peredaran, membuat ibu-ibu yang baru melahirkan merasa lebih segar dan sehat. Urut juga membantu membakar lemak badan.
Rahsia untuk melangsingkan badan cara tradisional selepas bersalin adalah dengan memakai bengkung setiap hari selama 44 hari, sekurang-kurangnya 12 jam sehari untuk mengetatkan perut dan bahagian badan yang menggeleber selepas bersalin, Memakai bengkung juga akan membantu mengecutkan rahim, meleperkan perut, menggalakkan postur badan yang betul semasa menyusukan bayi dan untuk mengelakkan makan dan minum berlebihan.
Semua rawatan tradisional lepas bersalin dibentuk khas untuk menguatkan organ reproduksi, terutamanya rahim, otot perut dan otot lantai pelvik. Dipercayai bahawa semua rawatan selepas bersalin dan berpantang sekurang kurangnya 44 hari adalah untuk memastikan ibu-ibu yang baru melahirkan akan kekal sehat dari segi fizikal, mental dan terus aktif dari segi seksual walaupun selepas menopos. Ibu-ibu muda yang yang tidak berpantang dan mengikuti rawatan cara tradisional selepas bersalin dipercayai akan menghadapi masalah seperti kekenduran (prolaps) rahim , kelonggaran pundi kencing dan berbagai jenis sakit puan terutama apabila mereka meningkat umur.
Dalam tempoh berpantang, ibu-ibu tidak dibenarkan minum air dengan banyak . Ini dipercayai untuk mengelakkan perut daripada menjadi buncit. Air batu (ais) diharamkan kerana ia dipercayai mengendurkan otot perut dan menyebabkan perut menggeleber. Makanan pula perlu diambil dalam kuantiti yang kecil tetapi ibu-ibu boleh makan beberapa kali sehari untuk mengelakkan dari lapar. Ini juga mempunyai kesan untuk meleperkan perut. Makanan cair atau berair dan berlemak atau berminyak juga tidak dibenarkan. Pengambilan makanan berair dipercayai boleh melambatkan pengeluaran lebihan air didalam badan. Manakala makanan yang berlemak dan berminyak akan mengganggu proses mengurangkan lemak untuk langsing semula.
Keluar dari rumah atau bersiar-siar di luar rumah semasa dalam pantang tidak dibenarkan. Penjagaan ditumpu juga kepada cara berjalan dan perhatian khusus pada ibu jari kaki . Dalam berpantang cara tradisional, ibu jari kaki perlu dijaga dengan baik supaya tidak terlanggar atau tersepak objek keras. Dipercayai bahawa kejadian seumpama itu boleh membawa kepada ‘bentan’, yang merupakan satu keadaan di mana badan menjadi sangat lemah dan menggeletar . Apabila ini berlaku, ia akan mengambil masa yang lama untuk pulih. Ini mungkin berkaitan dengan hakikat bahawa dalam rawatan refleksologi kawasan kaki besar mengawal kesihatan rahim.
Ibu-ibu yang baru bersalin perlu memastikan tubuh mereka sentiasa panas pada setiap masa. Memakai baju tebal yang menutupi tubuh sepenuhnya dan stokin adalah wajib. Pengambilan makanan sejuk tidak dibenarkan. Tinggal di bilik berhawa dingin tidak digalakkan. Pengambilan makanan panas dan herba digalakkan. Ini akan meningkatkan peluh dan peredaran darah. Peluh yang berlebihan adalah cara yang baik untuk mengeluarkan semua air yang terkumpul dalam badan sepanjang kehamilan.

Rawatan tradisional jika bersalin melalui ‘caesarian’

Rawatan cara tradisional untuk ibu-ibu yang melahirkan melalui ‘caesarian’ biasanya bermula lambat sedikit berbanding dengan melahirkan melalui faraj. Pengambilan jus kunyit boleh dilakukan sebaik selepas bersalin selama tiga hari berturut-turut dalam minggu yang pertama untuk mengeringkan jahitan di abdomen. Kunyit adalah herba yang bercirikan anti-bakteria dan boleh membantu untuk mengurangkan risiko jangkitan dijahitan. Bertungku hanya dibenarkan pada kawasan paha, pergelangan kaki dan belakang untuk membantu menguatkan rahim dan otot lantai pelvik tetapi tidak dikawasan abdomen. Mandi dengan rebusan herba dibenarkan beberapa hari selepas melahirkan melalui ‘caesarian’. Penggunaan bengkung perlu dimulakan apabila jahitan mula kering supaya otot abdomen tidak kendur dan akan menjadikan perut terus menggeleber.

Beberapa amalan tradisional orang Cina dan India

Amalan berpantang cara orang Cina

Salah satu prinsip utama amalan tradisional orang China selepas bersalin ialah menghalang badan dimasuki ‘angin’ yang dipercayai menjadi punca segala masalah sendi dan otot apabila umur meningkat tua. Satu amalan yang diketahui ramai dan diikuti ialah ibu-ibu yang bersalin tidak dibenarkan mandi atau mencuci rambut sepanjang waktu berpantang, iaitu sekurang- kurangnya 30 hari.
Orang Cina percaya bahawa tubuh seorang wanita paling lemah dan paling mudah terdedah kepada jangkitan penyakit waktu selepas bersalin. Dipercayai bahawa tempoh berpantang sekurang-kurangnya 30-40 hari boleh memastikan pemulihan sepenuhnya dan memastikan kesihatan jangka panjang. Semasa berpantang, selain tidak boleh mandi ibu-ibu yang baru melahirkan juga perlu mematuhi dan bertahan melalui bermacam pantang-larang terutama dalam penjagaan makanan.
Kebiasaannya, ibu-ibu yang dalam pantang akan mengupah seseorang yang berpengalaman, pertengahan umur dan berpengetahuan dalam penjagaan selepas bersalin untuk menjaga mereka sepanjang tempoh berpantang. Tujuan utama adalah untuk membantu ibu-ibu baru berehat dan pulih dari tekanan mengandung dan melahirkan anak dengan menyediakan makanan yang berkhasiat dan juga membantu menjaga bayi yang baru lahir.
Pantang larang dalam penjagaan makanan bertujuan untuk menyuburkan dan memanaskan badan, memperbaiki peredaran darah, ‘membuang’ toksin dan menggalakkan pengecutan rahim. Ibu-ibu digalakkan untuk makan hidangan yang kecil tetapi kerap untuk mengelakkan kelaparan supaya ‘angin’ tidak masuk ketubuh. Makan dengan kerap juga membantu memastikan bekalan susu ibu untuk bayi.
Makanan digalakkan adalah yang boleh memanaskan badan seperti halia tua, minyak bijan, lada hitam, wain dan cuka hitam yang digunakan secara meluas dalam hampir setiap hidangan dalam pantang. Makanan biasanya dikukus atau digoreng dengan penggunaan minyak yang sedikit. Bahan-bahan yang diguna biasanya dipilih dengan berhati-hati, dengan penekanan pada makanan segar, semula jadi, dan organik. Makanan menyejukkan dielakkan seperti buah-buahan tembikai, nenas, betik dan sayur-sayuran seperti kangkong, timun, kubis dan tauge. Sup herba dan tonik adalah minuman utama kerana ia menyuburkan dan meyegarkan badan. Herba cina seperti ginseng dan ‘dong quai’ merupakan herba penting untuk membantu badan sembuh. Air sejuk tidak dibenarkan langsung kerana ia akan menyebabkan sembab. Cuma minuman memanaskan seperti teh halia dibenarkan. Wain seperti DOM dan wain halia amat penting walaupun terdapat perdebatan bahawa ibu-ibu yang menyusu badan tidak harus minum wain kerana kesan sampingan keatas susu ibu.

Pantang-larang orang Cina :

  • Ibu-ibu yang baru melahirkan tidak dibenarkan untuk mandi dan mencuci rambut semasa tempoh berpantang 30 hingga 40 hari. Kepercayaan orang cina air adalah sejuk dan boleh menyebabkan “angin” masuk ke dalam badan, dan akan menyebabkan sakit badan, otot dan sendi yang teruk apabila umur makin meningkat.
  • Jika ibu-ibu yang baru melahirkan bertegas untuk mandi atau membasuh rambut, mereka dibenarkan mandi dengan air rebusan herba yang dibuat khas dari bahan-bahan yang boleh memanaskan badan. Mandi perlu dengan air panas dan hanya pada waktu siang saja. Sebaik sahaja keluar dari bilik mandi, mesti minum wain (DOM atau wain halia) untuk memanaskan badan dan mengelakkan ‘angin’ daripada memasuki tubuh.
  • Untuk mengelak tubuh dimasuki “angin”, ibu-ibu juga tidak dibenarkan keluar rumah, tidur dibawah kipas dan dalam hawa dingin.
  • Sepanjang berpantang ibu-ibu dibalut dengan lapisan pakaian tebal dan sarung kaki supaya tidak mendedahkan badan dimasuki “angin”.
  • Ibu-ibu dilarang daripada melakukan kerja-kerja rumah, mengangkat barangan berat, kerana ini boleh menyebabkan kekenduran rahim (prolaps).
  • Ibu-ibu tidak dibenarkan terlalu banyak membaca, menonton TV dan menangis tidak dibenarkan langsung. Jika tidak, penglihatan mata akan lemah dengan ketara.
  • Hubungan seks dengan suami juga dilarang selama 100 hari selepas bersalin.

Amalan berpantang orang India

Sama seperti orang Melayu dan Cina, orang India percaya bahawa amalan berpantang yang betul boleh membantu untuk mencegah masalah kesihatan apabila meningkat tua. Tempoh berpantang orang India juga adalah antara 30 hingga 40 hari.
Amalan berpantang orang India juga memastikan rahim mengecut kembali ke saiz asal dan ‘luka’ dalaman sembuh dengan sempurna.
Mandi herba diamalkan dengan menggunakan pelbagai jenis daun untuk meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan keletihan.
‘Omam’, yang merupakan sejenis rempah, disapu di seluruh badan untuk membersihkan dan melembutkan kulit, serta untuk melegakan sakit.
Diet berpantang orang India kebanyakkannya bertujuan meningkatkan pengeluaran susu ibu. Sayuran berdaun hijau, daging ikan yu, bawang putih, puding kacang dal hitam dan biji halba rebus (halba) adalah antara makanan yang dipercayai membantu menghasilkan banyak susu badan.
Orang India juga mempunyai cara urutan badan mereka sendiri yang dipercayai untuk membantu ibu-ibu yang baru melahirkan mendapat semula bentuk badan yang langsing.

Pantang-larang orang India:

  • Makanan laut tidak dibenarkan jika ibu menyusukan anak, kerana ia akan menyebabkan muntah dan ruam pada bayi.
  • Sayuran dan buah-buahan yang sejuk dan berangin seperti kubis, terung dan anggur tidak dibenarkan.
  • • Minum terlalu banyak tidak dibenarkan. Hanya air susu panas atau air suam boleh diminum.

Ambillah apa-apa yang baik daripada artikel yang kak ummu bentangkan diatas ini......Terimakasih kepada tanamera .com

Adakah anda lelaki sehat ?


Dalam masyarakat yang semakin obses dengan kesihatan, adalah mustahil untuk melepaskan diri daripada memperkatakan tentang kisah-kisah pahit dan manis berkaitan kesihatan. Daripada pandemik kepada simptom-simptom penyakit yang menggerunkan, berita-berita mengenai penyakit selalunya diiringi dengan elemen takut dan bimbang.
Hakikatnya penyakit tidak mengenal usia, bangsa, agama mahu pun jantina. Apa yang boleh dilakukan adalah mencegah dan kemudiannya jika tidak berkesan merawat. Bagi lelaki, kesihatan mungkin bukan topik yang digemari. Namun tidak bermakna soal kesihatan dipandang ringan.
Mungkin ada perkara-perkara kecil yang mesti diberi perhatian oleh kaum lelaki untuk menentukan sama anda boleh dikategorikan sebagai lelaki sihat.
Berikut lima tanda atau petunjuk taraf kesihatan lelaki.
1. Kuku yang kuat dan berwarna merah jambu.
Penjagaan kuku mungkin tidak tersenarai sebagai perkara penting dalam diari kesihatan kaum lelaki. Tetapi percayalah kuku boleh mendedahkan banyak mengenai kesihatan seseorang. Secara umumnya, kuku individu yang sihat berwarna merah jambu, kukuh tetapi lembut. Sedikit perubahan pada kuku seperti tompok putih dan permukaan yang sedikit tidak rata adalah perkara biasa, namun sebarang perubahan besar mesti diberi perhatian.
Kuku yang tebal dan berwarna kekuningan mungkin isyarat bagi penyakit berkaitan pernafasan seperti bronkitis yang kronik. Kesan lekuk melintangi kuku yang dikenali sebagai garisan Beau pula tidak mustahil membawa maksud individu berkenaan mengidap diabetes. Kuku yang berbentuk seperti sudu yang melengkung keluar mungkin menunjukkan masalah kekurangan zat besi. Biar pun perubahan pada kuku bukan isyarat atau petunjuk pertama kepada sesuatu penyakit, tetapi adalah lebih baik rujuk masalah tersebut kepada doktor anda.
2. Warna air kencing
  
Pernahkah anda terfikir untuk menjalani ujian air kencing untuk melihat sama ada anda sihat atau sebaliknya? Jika tidak, mungkin sudah tiba masanya untuk anda berbuat demikian kerana ujian air kencing boleh mendedahkan petunjuk-petunjuk penting tentang kesihatan anda. Air kencing sepatutnya berwarna keperangan untuk menunjukkan seseorang itu sihat. Bagaimanapun warna perang atau kuning pada air kencing boleh berbeza bergantung kepada jumlah air yang diminum. Jika anda minum air yang banyak maka kebiasaannya air kencing selalu kelihatan jernih dan secara perubatan ia menunjukkan anda sihat. Bagaimanapun jika anda mengalami dehidrasi, air kencing anda akan berwarna perang gelap. Selain faktor warna, sentiasa berwaspada jika terdapat sebarang perubahan besar. Bau kurang menyenangkan, tompokan darah atau warna-warna lain yang tidak berkaitan dengan makanan, ubat atau suplemen yang diambil mesti dipandang berat.

3. Pancutan air mani
Lelaki pertengahan umur yang sihat sepatutnya mempunyai keupayaan untuk memancutkan antara 2 dan 5 ml air mani. Semakin berusia seseorang lelaki itu semakin kurang air mani yang dipancutkan. Justeru 2 ml air mani adalah petunjuk hypospermia – keadaan yang boleh memberi kesan kepada kesuburan seseorang lelaki. (Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyokong kadar 2 ml). Selain daripada jumlah, warna serta konsistensi air mani juga menjadi petunjuk kepada kesihatan lelaki. Lelaki yang sihat sepatutnya mempunyai air mani yang pekat, berwarna putih atau sedikit kelabu. Air mani yang bercampur dengan darah mungkin ada kaitan dengan masalah kesihatan.
4. Kadar degupan jantung semasa berehat 70 bpm.
Kadar degupan jantung semasa berehat (RHR) atau jumlah degupan jantung seminit semasa berehat adalah indikator yang bagus untuk menentukan paras kecergasan anda. Walaupun RHR berbeza mengikut usia, bagi lelaki yang sihat jumlah RHR antara 70 dan 75 degupan seminit (bpm) adalah sasaran yang munasabah. Malah, RHR antara 60 and 100 bpm secara umumnya dianggap normal bagi lelaki dewasa. Kadar degupan jantung di luar catatan tersebut boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius dan boleh menjadi petunjuk kepada beberapa masalah kesihatan anda. Untuk mengukur denyut nadi, letakkan dua jari pada pergelangan tangan. Apabila merasa denyutan nadi, lihat jam dan kira denyutan selama 15 saat. Darab jumlah tersebut dengan empat untuk mendapat kadar denyutan anda seminit.

5. Kulit anjal



Ukuran keanjalan kulit biasa digunakan untuk menentukan paras dehidrasi. Cirit-birit atau muntah-muntah menyebabkan seseorang kehilangan cecair dalam badan. Kulit yang sihat kekal anjal dan akan kembali normal apabila masalah tersebut pulih. Untuk menguji keanjalan kulit anda, cubit kulit di belakang tangan anda. Kulit yang kering akan kekal terangkat dan secara perlahan kembali kepada kedudukan asal. Kulit yang sihat pula akan kembali normal dalam masa yang singkat.
Dalam banyak hal, tahap kesihatan seseorang sangat berkaitrapat dengan peningkatan usia, aktiviti dan gaya hidup. Jadi, secara umumnya, keperluan untuk mengekalkan tahap kecergasan anda tentunya berbeza dengan orang lain.
  •  Berikut beberapa tips lagi untuk menjaga "kesihatan lelaki' secara umum yang wajar diberi perhatian: Kepanasan membunuh sperma - Sperma amat sensitif terhadap suhu tinggi. Elakkan sering mandi air panas atau sauna, duduk terlalu lama atau berada dalam suasana panas berpanjangan.
  •  Elakkan seluar ketat kerana ini akan menyebabkan kerandut testis anda melekap rapat dengan tubuh badan dan meningkatkan suhu. 
  • Tabiat merokok diketahui boleh mengakibatkan saluran darah mengecut dan menjejaskan aliran darah ke penis; mengakibatkan gangguan erektile.  
  • Amalkan gaya hidup sehat. Lakukan aktiviti riadah seperti bersenam dan berjalan selama 30 minit setiap hari untuk mengeluarkan peluh.  
  • Amalkan pemakanan yang sihat. Elakkan makanan berlemak, kurangkan pengambilan garam dan gula.  
  • Tomato kaya dengan lycopene; sejenis antioksidan pencegah kanser. Kajian menunjukkan amalan memakan 10 hidang tomato setiap minggu mampu menurunkan risiko kanser prostat sehingga 45%. 
  • Suplemen yang mengandung vitamin C, L-carnitine (asid amino) dan tiram membantu meningkatkan kualiti sperma.  
  • Tidur malam secukupnya dapat mengekalkan keremajaan dan melambatkan proses penuaan. Proses perembesan hormon somatotropin berlaku ketika anda tidur lena pada waktu malam